Sunday, May 12, 2013

Wacana Post Mortem PRU13 Survival Ummah di Hotel Premiera, Ahad ini

KUALA LUMPUR 10 Mei - Persatuan Alumni UiTM Malaysia dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS) akan mengadakan program 'Wacana Post Mortem PRU13: Bicara kepimpinan dan Survival Ummah' di Hotel Premiera, Menara MARA, Jalan Raja Laut di sini, Ahad ini. Wacana tersebut akan menampilkan tokoh pendidik Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad, bekas hakim dan pakar undang-undang, Datuk Mohd. Noor Abdullah, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar (Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia) dan Dr. Nasharuddin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden PAS. "Ramai tokoh Melayu dan bekas ahli politik, ahli-ahli politik pembangkang dan kerajaan serta pemimpin-pemimpin NGO Melayu telah menyatakan persetujuan untuk hadir program tersebut," kata Setiausaha Agung Alumni UiTM, Shukri Ishak di sini hari ini. Orang ramai dijemput hadir ke wacana itu dan ia percuma. "Program Gerakan Kesedaran ini bertujuan mengajak orang Melayu duduk semeja untuk membincangkan hala tuju politik untuk kepentingan survival ummah di Malaysia," katanya. Shukri berkata, gerakan kesedaran ini akan menjelajah ke seluruh pelusuk negara untuk mendengar dan mendapat maklum balas daripada peserta mengenai kepincangan yang berlaku dan idea-idea yang boleh membantu pihak kerajaan. "Hasil maklum balas daripada rakyat sangat penting sebagai satu ukuran dan harapan rakyat dalam masa lima tahun lagi apakah ciri-ciri idaman rakyat kerajaan yang mereka inginkan," katanya. Satu Jawatankuasa Panel Pemikir telah mengumpul dan menyelaras segala input dan pandangan rakyat daripada segenap lapisan rakyat, tambah beliau. Shukri berkata, resolusi wacana tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai satu panduan dalam menjaga kepentingan politik untuk survival ummah. Resolusi itu juga akan dihantar kepada parti-parti politik yang berkaitan dan juga akan dipersembahkan kepada Raja-Raja Melayu. Katanya, GPMS memandang serius polarisasi kaum yang terserlah dalam PRU13 kerana ia tidak sihat untuk negara majmuk. "Kerajaan harus mendengar suara anak muda sebenar kerana mereka mempunyai pemikiran yang sangat kritikal dan akan menjadi pengundi yang teramai dalam PRU ke-14 nanti," kata beliau.

No comments: